Wednesday, October 20, 2010

Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan.



Kemajuan dalam bidang ICT sememangya mampu mengubah cara manusia berfikir, bekerja, bermain, berperang dan yang paling penting adalah dari segi pelajaran. Perkembangan dalam bidang ICT ini telah berperanan sebagai salah satu anjakan dalam meningkatkan kualiti hidup kita. Secara umumnya, perkembangan media elektronik di negara-negara maju adalah disebabkan oleh keperluan teknologi maklumat dan ilmu pengetahuan.

Perkembangan ini dalam bidang ICT ini menyebabkan komputer bukan lagi dianggap sebagai satu perkakasan yang mewah tetapi sebagai sesuatu keperluan hidup yang amat penting. Oleh hal yang demikian, perkembangan dalam bidang ICT ini telah menyebabkan negara-negara membangun berlumba-lumba untuk menguasai  bidang tersebut. ICT ini juga merupakan salah satu landasan untuk memperkenalkan negara masing-masing.

Sebagai permulaan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang sedang bersaing dalam memajukan bidang ICT, langkah pertama yang diambil adalah dengan merencanakan sistem pendidikan agar dapat memenuhi keperluan negara dalam bidang ICT pada masa akan datang. Sebagai langkah pertama untuk merealisasikan matlamat ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah merubah sistem kurikulum dengan memperkenalkan subjek Teknologi Maklumat (IT) sebagai subjek pilihan pada tahun 1998. 

Perubahan kurikulum ini menunjukkan  kesungguhan KPM dalam menerapkan penggunaan ICT dalam pendidikan. Selaras dengan program-program dalam bidang ICT yang telah dilancarkan ini kerajaan telah memperkenalkan  sekolah bestari pada tahun 1999 yang berpandukan penggunaan ICT dalam semua urusan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, KPM juga telah memperkenalkan pelbagai dasar untuk memajukan bidang pendidikan termasuklah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Salah satu teras dalam pelan ini adalah memperkasakan sekolah kebangsaan dengan menjalankan program pembestarian sekolah dan pengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) telah diwujudkan. Bagi memastikan  penggunaan ICT dimanfaatkan sepenuhnya, KPM telah menyediakan pelbagai infrastruktur seperti makmal, komputer riba, LCD dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, penggunaan ICT dalam bidang pendidikan adalah sesuatu yang amat penting kerana penggunaan ICT ini dapat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. 




No comments:

Post a Comment